Pengenalan
Pendidik atau murabbi merupakan insan mulia yang mewarisi tugas para nabi. Seorang guru muslim juga merupakan seorang ‘role model’ yang membawa imej Islam yang menerima Islam bukan untuk dirinya, malah disebar luaskan kepada segenap lapisan masyarakat.
Seni pula adalah sebahagian daripada kehidupan manusia dan penting dalam profesion keguruan. Islam juga tidak mengasingkan seni dalam agama. Kesenian menurut perspektif Islam adalah untuk membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabadian kepada Allah dan mestilah bersifat menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Bahkan, seni itu adalah anugerah di mana segala-galanya adalah seni yang dicipta dan disusun oleh-Nya. Dengan adanya seni, wujudnya penghargaan dan nilai estetika, perbezaan serta hikmah dalam setiap perkara. Sebagai seorang guru yang akan berdepan dengan masyarakat, guru akan menghadapi pelbagai corak lapisan masyarakat dan perbezaan murid. Dengan adanya penghayatan Islam yang mantap, nilai etika dan estetika, guru dapat menjana dan mencanai peribadi permata bangsa dengan sebaiknya. Terutamanya dalam suasana dan cabaran-cabaran dunia pendidikan hari ini. Guru bukan sahaja hanya mengajar dan menyampaikan ilmu, namun mendidik nilai-nilai agama dan norma baik untuk membentuk masyarakat sejahtera. Oleh itu, pemupukan dalam penghayatan Islam perlu bermula sejak di kampus lagi dan diterapkan awal dalam kalangan Siswa Guru sebagai persediaan menjadi seorang pendidik.
Pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang sangat besar dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Norma baharu ini telah memberikan suatu pengubahsuaian yang memerlukan penjanaan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kolaboratif, komunikasi dan kreativiti. FESKIT 2021 memberi ruang untuk pelajar IPGKPT khususnya, murid KAFA, murid sekolah rendah dan menengah di Seremban dan juga komuniti untuk mempamerkan bakat dan kreativiti supaya aktiviti dapat dijana walaupun semasa PKP.